30.8.13

Elysium: Sarat metafora

Mempertaruhkan dua bintang terkenal Hollywood, Matt Damon dan Jodie Foster bukanlah kekuatan utama filem ini sebaliknya idea dan konsep yang dipersembahkan lebih menarik selera kaki wayang untuk menontonnya.
Elysium menampilkan imaginasi pengarahnya juga pernah menulis dan menggarap filem District 9, Neill Blomkamp dengan mengangkat kisah manusia pada tahun 2154 yang penuh dengan kekejaman dan jurang kehidupan antara miskin dan kaya.

Merentas lebih 100 tahun ke depan, kononnya bumi bukan lagi seperti hari ini, serba membangun dan syurga bagi kebanyakan penduduknya sebaliknya apa yang tinggal hanya sisa dunia seakan neraka.

Elysium pula adalah stesen angkasa utopia buatan manusia pada masa depan dengan menawarkan kehidupan mewah bagai syurga bagi yang kaya dan berkemampuan. Lokasinya jauh di angkasa lepas memberikan kelebihan luar biasa di mana yang tua tidak akan berumur dan penyakit fizikal adalah satu perkara masa silam.
Foto

Semua masalah boleh dilupakan dan teknologi bukan saja membenarkan manusia mendirikan rumah di ruang angkasa, tapi juga membuka ruang kepada manusia mengelak kematian jika anda warga negara Elysium.

Bagaimanapun, ia hanya realiti sekiranya mereka kaya dan terpilih. Jika mereka bukan daripada golongan berkedudukan elit, maka mereka salah seorang daripada orang ramai di Bumi yang sesak dengan penduduk dan dalam keadaan mundur.

Bagaimanapun, di sebalik jurang maut antara Bumi dan Elysium itu, terbit sebuah drama penuh emosi yang mana Max Da Costa lakonan Matt Damon terdesak untuk ke Elysium bagi mengubati sakitnya selepas terdedah kepada bahan kimia yang boleh membawa kepada maut dalam masa empat hari.

Bumi ketika itu tiada perubatan dan satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa hanya berpeluang ke Elysium dan menjalani proses perubatan di sana.

Max pula adalah bekas banduan yang tekad tidak mahu kepada hidup silamnya, namun kali ini dia terpaksa bertemu semula kumpulan penjenayah untuk mendapatkan tiket kapal angkasa ke Elysium.

Bagaimanapun, tidak mudah bagi Max untuk memiliki tiket ke sana dan mendapatkan warga negara Elysium, sebaliknya dia harus melaksanakan satu misi yang sangat berbahaya. Sekiranya dia berjaya, berjuta orang di Bumi dapat diselamatkan dan bukan dirinya saja.

Max perlu mencuri data penting daripada fikiran seorang penduduk Elysium yang ditugaskan di Bumi untuk diserahkan kepada ketua penjenayah. Data itu sangat penting bagi menghentikan keseluruhan sistem Elysium, sekali gus membuka peluang kepada penduduk Bumi untuk menikmati segala kemewahan dan kelebihan mereka di atas sana.

Cabarannya pula apabila Elysium dikuasai oleh Setiausaha Pertahanannya iaitu Jessica Delacourt, lakonan hebat Jodie Foster yang menugaskan ejen pembunuh mereka di Bumi iaitu C M Kruger lakonan Sharlto Copley.

Max yang hampir terbunuh akhirnya berjaya menjejakkan kakinya di Elysium. Namun ia tidak semudah disangka kerana wujud pula konflik rampasan kuasa oleh Jessica Delacourt yang ingin membunuh presiden Elysium.

Max juga terperangkap dengan wanita yang pernah dicintainya, Frey Santiago lakonan Alice Braga yang turut memerlukan bantuannya untuk membawa seorang kanak-kanak yang memerlukan rawatan bagi mengubati sakitnya.

Meskipun konsepnya seakan fantasi, apa yang ingin diterjemah adalah drama dan mesej tersirat di sebaliknya idea asalnya. Elysium adalah sebuah karya yang memerlukan penonton berfikir akan apa yang ingin disampaikan.

Projektor kebetulan berpeluang menonton filem ini bersama penari terkenal juga bakal tenaga pengajar program Akademi Fantasia musim terbaru, Alam atau nama sebenarnya, Mohd Haslam Abdul Rahman yang menyifatkan Elysium cereka hebat dan menghiburkan.


Komen Alam

“Hampir dua jam menonton Elysium, saya terleka dengan persembahan kesan khas dan permainan grafik pada filem ini yang begitu realistik dan penuh unsur kemanusiaan meskipun genre utamanya adalah imaginasi dan fantasi.

“Walaupun ia adalah cerita sains fiksyen, idea untuk mencipta satu dunia yang sempurna oleh pengarah dan penulisnya Neill Blomkamp sebenarnya berdasarkan konsep kehidupan sebenar dan ia mampu dirasai oleh penonton dengan baik.

“Mungkin kerana Neil pernah menerbitkan filem District 9, kandungan dan konteks konsepnya hampir sama iaitu menerokai idea keadilan sosial, perpisahan kelas dan hubungan kaum.

“Idea memperlihatkan perbezaan taraf hidup itu ditampilkan hampir keseluruhan plot filem ini dan semuanya dipersembahkan dengan baik dan sempurna hingga membuatkan emosi penonton tersentuh.

“Bayangkan, Bandaraya Los Angeles digambarkan begitu mundur dan teruk seperti keadaan sebenar kebanyakan negara Timur Tengah yang kini sedang bergolak.

“Elemen itu membuatkan minda saya terbuka dan bertanya akan mesej sebenar filem ini. Garapan dan pengarahannya begitu teliti dan halus untuk mengangkat konsep utama iaitu soal keadilan dan kekejaman jurang hidup.

“Apa yang diterjemah dalam Elysium adalah kejadian yang berlaku hari ini namun susah untuk kita buka mata dan faham.

“Soal lakonan tiada apa perlu dipertikai kerana lakonan Matt Damon dengan menghidupkan watak Max begitu baik dan berkesan terutamanya ketika babak pertaruhannya yang berjuang untuk tiba ke Elysium dalam keadaan parah.

“Jodie Foster hanya muncul beberapa babak berbanding watak Frey Santiago, namun lakonan pelakon hebat itu berjaya meninggalkan impak tersendiri. Walaupun sudah beberapa kali melakonkan watak seperti ini, Jodie Foster masih berjaya memberikan dimensi lain pada lakonannya menerusi Elysium.

“Keseluruhannya saya memberikan EMPAT BINTANG untuk filem ini kerana mesejnya yang kuat berjaya membuatkan saya terbuai dengan kesemua plot yang dibangunkan,” katanya.


 sumber dari sini

Ini adalah review dari penulis dari HMetro. Kalau dilihat isinya ada persamaan dengan review yang aku buat minggu lepas. Dah boleh jadi pengkritik filem dah ni...hahaha..

No comments: